بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
السلام عليكم
Apa yang dimaksudkan dengan Fikrah Islamiyyah ialah Islam itu sendiri. Deen Allah s.w.t yang kekal dan mencakupi semua bidang. Deen Allah s.w.t yang bersifat syamil dan kamil. Deen Allah s.w.t yang mana kita tiada hak dan kuasa untuk menambah dan mengurangkan mana-mana bahagian serta tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendahuluinya.
Dalam masyarakat yang tidak ada Tarbiyyah Islamiyyah, maka berlakulah pendahuluan daripada fikrah. Deen itu tidak diletakkan di hadapan dan tidak tahu di mana kewujudan Deen tersebut. Firman Allah s.w.t :
Terjemahannya:
“ Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui “
( Surah al Hujuraat : 1 )
Ini bererti jangan bertindak mendahuhui Islam. Oleh itu sikap kita ialah kita menjadi pengikut Islam, bukan Mubtada’ (pereka). Kita tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menokok tambah Islam.
Kewajipan kita ialah memahami Islam sebagaimana ia mesti difahamkan, bukan mengikut kefahaman kita sendiri. Oleh yang demikian kita adalah di belakang Islam. Masyarakat kini menyesuaikan Islam dengan suasana nafsu mereka, bukannya menyesuaikan nafsu dengan Islam.
Oleh yang demikian kita perlu mengkaji dan meneliti kehendak Islam yang sebenarnya dan tidak boleh mencampuradukkan fahaman-fahaman serta fikrah-fikrah lain dari Islam. Umpamanya mencampurkan Islam dengan sosialisme, demokrasi, kapitalisme, komunisme, nasionalisme dan lain-lain isme ( ideologi ) ciptaan manusia. Kita dapati fikrah-fikrah seperti ini benar-benar berlaku di dalam masyarakat kita, iaitu masyarakat yang menamakan diri mereka sebagai Islam tetapi mendokong (menganut) fahaman sosialis, kapitalis, nasionalis, komunis dan sebagainya.
Fikrah ini adalah mendatang dan kedatangan fikrah-fikrah ini menimbulkan masalah pokok, iaitu ‘Aqidah yang tidak selesai dan bermasalah. Jika selesai dan berlaku kesyumulan Islam, maka tidak timbullah masalah campuraduk seperti ini.
Islam itu bersifat sempurna dan lengkap. Jahiliyyah juga merupakan satu Millah. Kita perlu sedar dan tahu mana-mana yang mendatang dan dimasukkan ke dalam Islam. Semua itu dimasukkan untuk mempengaruhi kita dan menyesatkan Umat Islam. Kita perlu membentangkan fikrah kita dengan jelas dan tidak boleh berkompromi dengan kehendak masyarakat (kompromi dengan sebarang fikrah ciptaan manusia).
Da’ie perlu bertindak dengan sifat dan tingkah laku Islam yang sebenarnya. Hendaklah ia berdiri dengan Islam yang sebenarnya. Apabila seseorang itu bercakap mengenai Fikrah Islam tetapi tindakannya tidak berlandaskan fikrah yang sebenarnya, maka ia dikatakan sebagai tidak mempunyai fikrah. Kita dapati segolongan yang memperkatakan Islam berdasarkan fikrah yang betul tetapi mengambil tindakan tidak berlandaskan fikrah tersebut. Ini bukanlah Fikrah Islam yang sebenarnya. Masih terdapat kesamaran di dalam fikrah. Mesti jelas Fikrah Islam sebenarnya tanpa kesamaran dan liku-liku ( tanpa berputar belit ).
Kita perlu menjadi Mithali Islam dalam lisan dan tindakan. Apabila kita memperkatakan Islam, kita hidupkan kesyumulan Islam walaupun kita berseorangan. Begitulah Rasulullah s.a.w datang pada awalnya adalah keseorangan.
Kita tidak boleh menggugurkan satu huruf, satu segi atau satu perkara dari Islam untuk mendekati da’wah-da’wah lain. Kaedah kita ialah “ Matlamat Tidak Membersihkan Jalan “.
Oleh itu kita tidak boleh ‘ Musawwamah ‘Ala Fikrah ‘ ( bertolak ansusr di dalam fikrah ). Bertolak ansusr di dalam fikrah adalah kesalahan besar dan merupakan jenayah terhadap Islam serta dianggap terlalu berani terhadap Allah s.w.t. Berani menggugurkan sebahagian daripada Islam kerana menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Sebab-sebab kita tidak boleh bertolak ansur dalam hal ini adalah kerana kita tidak mempunyai sebarang hak untuk berbuat demikian. Deen Islam adalah milik Allah s.w.t dan bukan milik kita. Apa yang perlu bagi kita ialah menerima Islam sepertimana yang dikehendaki, iaitu dalam keadaan yang lengkap dan sempurna. Islam kita adalah Islam warisan dan tidak melalui Tarbiyyah yang sebenarnya. Bukan salah warisan tetapi mesti diproses agar timbul kefahaman dan dan kesedaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda.
Apabila kita memperkatakan demikian maka akan timbul dari masyarakat tohmahan, sebagaimana masyarakat sekarang berkata bahawa Asy Syahid Sayyid Qutb itu mengkafirkan umat Islam. Beliau sebenarnya tidak pernah mengkafirkan sesiapapun, tetapi tindakan beliau adalah dalam rangka untuk memberi penjelasan bahawa Islam hendaklah diterima dengan penuh keimanan bukan secara takliq atau tradisi.
Masalah mencampur adukkan Islam adalah masalah yang besar. Rasulullah s.a.w dalam rangka berda’wah kepada Islam, dicuba oleh pembesar-pembesar Quraisy untuk menerima tuntutan mereka sedikit sahaja, iaitu ketika mereka menunaikan solat tidak terdapat bersama-sama mereka orang-orang fakir miskin. Rasulullah s.a.w tidak mahu melayan kerana baginda s.a.w tidak mahu berkompromi dengan masyarakat jahiliyyah sehingga baginda berkata :
“Sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, nescaya aku tidak akan tinggalkan Islam yang langsung tidak berkompromi dengan jahiliyyah “.
Dengan konsep yang cukup jelas dan terang inilah fikrah yang sebenar untuk kita sampaikan kepada masyarakat. Tetapi ini hanya sebagai garis panduan semata-mata. Kita perlu faham fikrah Islam secara mendalam. Juga kita perlu meneliti buku-buku fikrah untuk mendalami tujuan ini dan hendaklah kita mengawal pembacaan kita agar jangan membaca buku yang dikarang oleh mereka yang mencampuradukkan fikrah Islam dengan fikrah-fikrah yang lain. Hanya buku-buku dari ulama’ yang muktabar sahaja yang dibaca dan dijadikan panduan.
Dengan fikrah yang kita bawa ini, kita akan memperjuangkan Islam dengan jalan-jalan yang mengikut kaedah-kaedah yang diatur dan disusun oleh Islam itu sendiri.
Apabila kita bertolak dari sini, kiranya kita sampai ke matlamat tersebut, maka Alhamdulillah, kita berjaya. Jika kita gugur dan kita kembali ke rahmat Allah s.w.t, maka kita juga telah berjaya. Untuk menyampaikan fikrah tersebut bukanlah boleh dilakukan seorang diri, tetapi mestilah dilakukan secara berjamaah.
Kita faham dan tahu bahawa da’wah Islam itu adalah dari perkara-perkara yang wajib dari segi hukum. Kita merasa syukur kepada Allah s.w.t kerana dijadikan kita sebagai penyeru-penyeru kepada Islam. Oleh itu kita perlu menyiapkan diri kita sebagai Daie Murabbi ke Jalan Allah s.w.t, kerana alam ini kini dipenuhi dengan jahiliyyah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “ Islam itu dagang dan akan kembali dagang seperti awalnya, maka beruntunglah para pedagang ( yang berpegang dengan Islam ketika kedagangan tersebut ) “
Kita melihat kepada masyarakat pada hari ini, Islam itu memang dagang pada mereka. Sehingga mereka yang mendapat ijazah di dalam pengajian Islam sendiri, Islam itu benar-benar dagang dalam banyak hal kehidupan mereka. Walaupun mereka menunaikan solah dan tidak berlaku dagang ketika mendirikannya, tetapi kedagangan Islam ternyata di dalam aspek-aspek kehidupan seharian mereka yang lain.
Kesyukuran kita tidak hanya memadai dengan lisan semata-mata, tetapi mesti tabah di dalam usaha-usaha da’wah dan mesti dilipat gandakan sehingga kita kembali redha kepada Allah s.w.t dan Allah s.w.t meredhai kita. Usaha-usaha ini tidak boleh kita lakukan seorang diri kerana kita tidak mampu memikul tanggungjawab da’wah dan beban yang berat tersebut dalam mentarbiyyah ummah. Rasulullah s.a.w tidak berusaha seorang diri tetapi baginda memikul anggota-anggota induk untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Firman Allah s.w.t :
Terjemahan :
“ Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung “
( Surah ali Imran : 104 )
Hendaklah ada di kalangan kita yang memikul tanggungjawab da’wah. Tugas kita bukan setakat mengeluarkan seseorang darpada jahiliyyah, tetapi kita bertugas untuk menolong dan mendidiknya sehingga dia bersedia untuk memikul tanggungjawab da’wah. Dengan ayat tersebut Allah s.w.t mewajibkan ‘amal jama’ie.
Tugas berda’wah ini tidak mampu untuk dipikul berseorangan, iaitu usaha-usaha untuk menghapuskan kefasadan (kejahatan) yang bermaharajalela di dunia ini. Kita bukan hendak mengangkat senjata, tetapi kita menggunakan Kaedah al Harb ( peperangan ) dalam menghadapi jahiliyyah hari ini. Dalam tahap sekarang ini, kita melawan dengan jahiliyyah dengan menggunakan Kaedah al Harb al Fikri (peperangan pemikiran). Ia terbahagi kepada dua :
Nasyrul Fikr ( penyebaran fikrah ) Islam dan
Fadhahal Kufr ( mendedahkan kekufuran ).
Dalam tahap sekarang kedua-dua peperangan terhadap jahiliyyah ini mesti berjalan.
Dalam menyebarkan Fikrah Islamiyyah ini tiada masa untuk kita berhenti ( hudnah ). Kita tidak sama sekali berhenti bertindak untuk menyampaikan Islam. Dalam keadaan sekarang ini jika kerja-kerja kita tidak mengarahkan kepada penyebaran Islam maka usaha-usaha kita adalah dipanggil sebagai ‘Amal Dha’if.
Kita berda’wah di dalam semua keadaan. Semua keadaan berada di dalam harb. Dalam semua tindakan dan di dalam apa jua keadaan pun kita mestilah mithali dan mesti membawa Syaksiyyah Ummah. Apabila kita turun ke dalam masyarakat, maka mesti membawa Syaksiyyah Ummah dan ia adalah mewakili ummah. Semua ini memerlukan kepada tarbiyyah dan perlu kepada harakah. Biarpun siapa dia itu, ia perlu menjadi seorang yang mendidik.
Ini adalah kaedah kita. Kita berjalan mengikut syara’, Insya Allah , Dia akan menolong kita untuk kekal berjalan di atas syara’.
Wallah hu A’alam.
source: http://halaqahmuntijah.wordpress.com/2009/12/02/fikrah-islamiyyah/
24 Apr 11
Comments
Post a Comment
Do you have any comments, concerns or inquiries? Or else, just drop me a note to say hi! :)