Bagaimanakah cara berzikir dan berwirid selepas solat menurut as-Sunnah? Kebiasaannya, masyarakat kita hari ini hanya mengikut amalan yang kita warisi dari orang-orang terdahulu dan kita tidak pernah bertanya dari mana sumbernya. Masyarakat kita juga sering berfikir bahawa asalkan amalan tersebut nampak baik maka tidak ada salah ianya dilakukan. Namun begitu, elok juga kita melihat beberapa dalil dan pandangan para ulama’ mengenai isu ini bagi tujuan menilai semula amalan kita sama ada ia benar-benar menepati maksud al-Qur’an dan hadis Rasulullah (sallahu’alaihi wasallam).
Firman Allah (subhanahu wata’ala) yang maksudnya;
“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai.”
(Surah al-A’raaf, ayat 205)
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A’raaf, ayat 55)
“Wahai manusia! Kasihanilah diri kamu kerana bukanlah engkau menyeru kepada Zat (Tuhan) yang pekak lagi jauh. Sesungguhnya engkau sedang menyeru kepada Zat yang Maha Mendengar lagi dekat bersama kamu”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)
Banyak riwayat menunjukkan Rasulullah (sallahu’alaihi wasallam) ada berzikir dan berdoa’ selepas solat tetapi ia TIDAK dilakukan dengan cara beramai-ramai (berjemaah) secara berkekalan dan ianya dilakukan mengikut adab yang betul. Imam as-Syafi’i (rahimahullah) ada menyebut perkara ini yang di antara lain menyatakan bahawa:
“Saya (Imam Shafi’i) memandang baik bagi imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah selesai daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir, kecuali jika dia (imam) mahu mengajar orang lain. Maka imam mengeraskan suaranya, sehingga dia melihat orang telah mempelajari daripadanya. Kemudian dia merendah (memperlahankan) suaranya.”
(Kitab al-Umm, Jilid 1)
Imam an-Nawawi (rahimahullah), ketika mengulas kaedah-kaedah berzikir selepas solat berjemaah, juga bersetuju dengan kesimpulan Imam as-Syafi’i (rahimahullah). Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhadzab.
Imam al-Baihaqi (rahimahullah) ada menyebut bahawa:
“Bahawa zikir dan doa’ sesudah solat harus disirrkan (perlahankan) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dijaharkan (dikuatkan) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa’ itu harus disirrkan (diperlahankan).”
(Kitab Zikir dan Doa’-Doa’ Rasulullah (sallahu’alaihi wasallam), Sunan al-Kubra)
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani (rahimahullah) juga menyebut perkara yang sama bahawa:
“Tidak disukai mengeraskan suara waktu berzikir dan berdoa’. Demikianlah juga pendapat golongan salaf dari para sahabat dan tabi’en (orang selepas sahabat).”
(Kitab Fath ul-Baari, syarah Sahih Bukhari)
Kesimpulannya, para ulama’ bersetuju bahawa berzikir/berwirid selepas solat adalah secara bersendirian dan dilakukan secara perlahan-lahan. Berzikir secara beramai-ramai dengan suara yang kuat boleh menimbulkan gangguan kepada jemaah lain yang sedang bersolat iaitu bagi mereka yang masih meneruskan solat kerana terlewat (makmum masbuq) dan juga bagi mereka yang sedang solat sunat selepas itu (sunat ba’diah).
Comments
Post a Comment
Do you have any comments, concerns or inquiries? Or else, just drop me a note to say hi! :)