Syeikh Said Hawwa Rahimahullah di dalam bukunya "al-Mustakhlas fi tazkiyyatin nafs" telah menyenaraikan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia dari kotoran mazmumah. Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah Taala. Oleh kerana itu Nabi Muhammad s.a.w apabila ditanya siapakah yang paling bijak menurut pandangan baginda, baginda menjawab: (Orang yang bijak) ialah yang paling banyak mengingati mati dan paling kuat bersedia menempuh saat kematian.
Menurut al Imamul Ghazali rahimahullah, manusia terbahagi kepada dua golongan di dalam berhadapan dengan mati: Pertama: Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia. Kalau boleh mereka tidak mahu lansung ingatkan mati. Kalau ingatpun mereka akan berusaha mengeluarkan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan boleh hidup lama. Atau terlalu bimbang memikirkan bagaimana hartanya akan digunakan oleh anak-anknya nanti.
Golongan ini merasa tidak penting ke Masjid kecuali hari Jumaat atau hari raya sahaja. Waktu lain dihabiskan dengan hiburan. Kerja dunia dilaksanakan bersungguh-sungguh dan bermatia-matian, tetapi amal ibadah dibuat ala kadar sahaja. Soal menutup aurat dianggap terlalu enteng dan remeh. Amat bencikan alim ulama, para hafiz al-quran dan pendakwah. Golongan ini memang susah untuk dilihat di masjid-masjid dan majlis-majlis ilmu, tetapi begitu senang melihat mereka di pesta-pesta hiburan dan konsert-konsert nyanyian yang melalaikan.
Kedua: Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau tazkirah bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat, manakala ingat mati menjadi benteng memelihara kerja keduniaan mereka supaya tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Imam Ghazali juga telah mengajar kepada kita bagaimanakah cara mengingati mati, antaranya:
1) Ingat kepada rakan atau sahabat yang telah meninggal dunia. Mungkin umur mereka sebaya dengan kita atau penyakit mereka sama dengan kita, oleh itu bila pula Malaikatul maut akan menjemput kita.
2) Ingat bagaimana cara mereka meninggal. Ada yang disebabkan penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis atau lemah jantung. Cuba tanya diri kita, apakah kita betul-betul sihat dan tidak akan menghidapi penyakit seperti ini. Atau ada yang ditimpa kemalangan tiba-tiba. Apakah kita boleh terselamat dari kemalangan seumpama ini.
3) Bayangkan kehidupan mereka sebelum mati. Ada yang meninggal dalam keadaan baik kerana penghujung hayatnya ia menjadi ahli masjid dan dekat dengan Allah Taala. Ada yang kita dapat lihat jenazah dengan wajah yang tenang bertemu dengan Allah Taala. Ada juga sahabat yang meninggal tetapi hayatnya penuh dengan maksiat, minum arak, disko, tinggal solat dan sebagainya. Lihatlah wajahnya yang penuh dengan tanda azab dan kengerian.
4) Ziarahi orang sakit dan nazak. Lihat bagaimana azabnya sakaratul maut dan betapa seksanya berhadapan dengan saat kematian.
Diriwayatkan bahawa seorang alim iaitu Ibnu Mutie, apabila tercetus di dalam hatinya tentang rasa kagum melihat rumah besar dan harta benda, terus sahaja ia menangis dan berkata: “Kalau tiada kematian, aku akan mencintai mu dan gembira sekali dengan rumah besarku. Andai kita tidak memasuki lubang kubur yang sempit, tentu mata kita akan terpesona selalu dengan kemewahan duniawi”.
Berkata pula Kaab r.a: “ Barangsiapa mengerti tentang dahsyatnya kematian, maka ringan baginya semua musibah dan kesulitan hidup di dunia yang fana ini”. Imam Syaddad rahimahullah pernah berkata: “Kematian adalah sesuatu yang paling menakutkan bagi mukmin di dunia, maut lebih sakit dari digunting, digergaji dan dicampak di dalam kawah menggelegak. Andaikata mereka yang telah meninggal dunia dibangkitkan dan menceritakan kepada orang yang hidup, nescaya tiada orang yang mengambil berat tentang dunia dan tiada yang akan dapat tidur lena”.
Para pemimpin terdahulu adalah terdiri dari golongan yangs sangat kuat iman dan ketaqwaan mereka. Mereka amat bimbang akan kuasa yang diamanahkan boleh membawa petaka kepada mereka di dalam kubur sekiranya amanah kepimpinan diabaikan atau digunakan sebagai jalan memburu kekayaan. Mereka amat takut jika ada rakyatnya hidup papa kedana sedangkan mereka tenggelam dalam kemewahan dan kemegahan duniawi.
Sebagai contoh, Khalifah Umar b Abdul Aziz boleh dikatakan saban minggu menjemput para ulamak berhimpun di istananya untuk memberikan tazkirah kepadanya tentang kematian. Setiap ulama diberikan kebebasan menegur dan menyentuh tentang keperitan mati dan azab di alam barzakh. Biasanya majlis itu akan diakhiri dengan tangisan khalifah kerana beliau bimbang dan takut akan azab yang menunggu sekiranya berlaku sebarang kezaliman di dalam pemerintahannya.
Hasilnya pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz telah berjaya menegakkan kembali kegemilangan pemerintahan Islam di zamannya meskipun hanya berkuasa selama dua setengah tahun. Setiap hari ada sahaja maksiat yang dihapuskan dan syariat yang ditegakkan. Natijahnya maksiat terus berkurangan manakala syariat Islam dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Imam Sufyan at Thauri rahimahullah pula apabila terdengar ada kematian atau terdengar cerita tentang kepedihan mati, sepanjang hari beliau tidak makan dan tidak berseronok.
Seorang ahli sufi pula telah mengungkapkan sajaknya dengan berkata: Lihatlah penguasa-penguasa dunia, Sibuk mengumpul kemewahan segalanya, Apakah dia boleh lepas dari lilitan benang dan lembaran kain kafan? Kematian pastinya akan menjenguk kita. Samada kita pemimpin atau rakyat. Kaya atau Miskin. Tua atau muda. Sihat atau sakit. Oleh itu segeralah bertaubat. Bagi yang sering melakukan maksiat seperti minum arak, meninggalkan solat, berzina , rasuah, berjudi dan sebagainya maka tinggalkanlah segera sebelum terlambat. Agar tidak menyesal apabila dimasukkan ke dalam liang lahad kelak.
Comments
Post a Comment
Do you have any comments, concerns or inquiries? Or else, just drop me a note to say hi! :)