بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
السلام عليكم
Akar adalah tunjang kepada pokok. Cerucuk serta tiang adalah asas kepada pembinaan rumah. Begitu jugalah matahari, asas yang menyokong pertumbuhan hidupan lain, contohnya seperti tumbuhan untuk terus tumbuh menjadi lebih besar dan tinggi, dan juga membantu manusia dalam menjalankan kehidupan seharian. Dan di sini ingin saya analogikan sabar itu dengan matahari, yang menjadi sumber kekuatan manusia untuk terus menjalani kehidupan yang penuh liku dan cabaran dengan sebaiknya.
Matahari memancarkan cahaya, sabar memancarkan keimanan kita. Orang yang benar-benar faham tidak akan cepat melatah jika perkara terjadi tidak mengikut perancangannya, kerana dia tahu sesungguhnya Allah itu maha mengetahui dan ketetapanNya memang adalah yang terbaik. Cuma terpulang pada diri kita sendiri bagaimana untuk menerima dan redha dengan ketatapan itu. Cara terbaik adalah dengan berusaha untuk bertenang kerana sesungguhnya itu adalah mode mood terbaik untuk menangani apa-apa masalah yang terjadi. Selain itu juga, adalah normal yang kita akan berasa gembira bila melihatkan hari cerah bermatahari, bertentangan dengan mood yang mungkin tercetus apabila cuaca pada hari itu mendung atau hujan. Samalah dengan cerita kita di sini, apabila kita dapat menabahkan hati semasa menempuhi sesuatu kecelaruan atau kesusahan, kita akan berasa tenang dan secara halusnya akan menyalurkan aura positif pada diri ataupun orang lain insyaAllah.
Di sini ingin juga dikongsikan sedikit pengajaran yang dipetik daripada ayat Al-Quran (18:62-82), yang mana mengisahkan perjalanan nabi Musa bersama nabi Khidir. Antara pengajaran yang boleh diambil adalah dengan cara bersabarlah yang akan menyebabkan kita agar dapat belajar lebih banyak perkara. Seperti dalam kisah nabi Musa dan nabi Khidir ini mungkin sahaja nabi Musa akan dapat belajar lebih banyak daripada nabi Khidir sekiranya baginda terus menunggu hingga ke akhir perjalanan untuk mengutarakan kekeliruannya seperti yang disarankan oleh nabi Khidir. Wallahua'lam.
Akhir sekali, mintalah pertolongan kepada Allah dengan cara solat dan sabar. Tidak dilupakan bahawa solat itu juga adalah sama penting dengan sabar. Dengan cara mematuhi perintah Allah agar kita menunaikan solat, ia benar-benar akan membina peribadi mulia seperti yang dituntut oleh agama. Sepertimana sabda Nabi Muhammad s.a.w,
"Solat itu tiang agama, barangsiapa yang mengerjakannya maka ia menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya ia meruntuhkan agamanya"
Riwayat Al-Baihaqi
Memang mudah berkata-kata daripada mengamalkan. Jadi, diharap sedikit perkongsian di sini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada semua. Sama-samalah kita berusaha membina diri agar menjadi terus mantap dan sentiasa redha dengan ketetapanNya dalam usaha menggapai redhaNya pula. InsyaAllah..
Comments
Post a Comment
Do you have any comments, concerns or inquiries? Or else, just drop me a note to say hi! :)